Permit syarikat lori terlibat kemalangan di Gerik digantung sementara

0
2

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarah mengambil tindakan segera berhubung kes kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik, Perak pada 29 Oktober lalu yang meragut nyawa bayi dalam kandungan berusia 34 minggu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan perlu diambil terhadap pemandu dan syarikat yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Permit operasi syarikat lori ini akan digantung sementara untuk audit ke atas semua lori mereka.

“Saya tidak akan berkompromi dengan pemandu dan syarikat yang membahayakan orang ramai di atas jalanraya,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Loke turut menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan bayi sulung mereka.

Terdahulu, media melaporkan sepasang suami isteri terlibat dalam kemalangan apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbalik di Gerik, Perak baru-baru ini.

Lebih menyedihkan, nahas itu meragut nyawa bayi sulung mereka dalam kandungan yang berusia 34 minggu dan mangsa wanita cedera parah.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata kemalangan itu berlaku kira-kira 11 pagi 29 Oktober lalu membabitkan treler muatan siling bersama tiga kenderaan lain.

Menurutnya, kemalangan mengakibatkan seorang wanita berusia 31 tahun parah manakala beberapa mangsa lain cedera ringan.

Beliau berkata, kemalangan berpunca daripada muatan siling dibawa treler yang dalam perjalanan dari arah Gerik menghala Jeli, terjatuh dan menimpa sebuah kereta jenis Subaru Forester yang dinaiki mangsa.

Katanya, pemandu treler itu yang berusia 47 tahun ditahan pada hari sama ketika dia melalui sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang dekat Jeli, Kelantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sejak semalam, tular sebuah video rakaman kamera papan pemuka kenderaan berdurasi 16 saat memaparkan kejadian muatan sebuah treler sedang bergerak terjatuh menghempap kereta yang sedang bergerak dari arah bertentangan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here