Anwar dijadual menghadap Agong sembah nama Timbalan Menteri petang ini

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, petang ini, bagi mempersembahkan senarai Timbalan Menteri.

Menurut Berita Harian yang memetik sumber berkata, ia bagi melengkapkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan selepas pelantikan 28 anggota Kabinet yang mengangkat sumpah jawatan pada 3 Disember lalu.

Difahamkan mereka yang terpilih sebagai Timbalan Menteri akan mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang di-Pertuan Agong esok.

Katanya, jumlah Timbalan Menteri itu mungkin akan dihadkan kepada satu bagi setiap kementerian, kecuali membabitkan beberapa kementerian yang disatukan.

“Ia mengambil kira hasrat Kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar, yang mahukan saiz Kabinet lebih kecil berbanding sebelum ini,” kata sumber itu.

Menurutnya terdapat kemungkinan empat kementerian termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah mempunyai dua Timbalan Menteri.

Katanya, antara nama yang dipertimbangkan jawatan Timbalan Menteri daripada Pakatan Harapan (PH) ialah Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching; Liew Chin Tong (Iskandar Puteri), Steven Sim (Bukit Mertajam), Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Selain itu, katanya, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Mohamad Alamin (Kimanis), Datuk Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu) serta Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng, juga tersenarai bagi mewakili BN.

Sementara itu, beberapa muka baharu juga dijangka tersenarai, termasuk Chong Chieng Jen (Stampin), Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Young Syefura Othman (Bentong), V Ganabatirau (Klang) dan Shahredzan Johan (Bangi), mewakili DAP.

Bagi PKR, nama yang dijangka tercalon ialah Rodziah Ismail (Ampang), Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang), Adam Adli Abd Halim (Hang Tuah Jaya), Wong Chen (Subang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Pada masa sama, Amanah pula dikhabarkan turut menghantar beberapa nama termasuk Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari serta Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan.

“Beberapa Senator juga dijangka dilantik bagi mengisi jawatan itu selepas namanya dicadangkan parti-parti yang membentuk kerajaan ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Parti Warisan (WARISAN) yang menang tiga kerusi Parlimen turut mengemukakan dua nama bagi jawatan Timbalan Menteri.

Difahamkan, mereka ialah Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal dan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here