MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mendapatkan dokumen bank pelaburan Amerika Syarikat, Goldman Sachs, dan keluarga bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Menurut Berita Harian, Najib memohon mendapatkan 19 dokumen bagi digunakan dalam perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan, menetapkan keputusan itu secara sebulat suara.
Pada 25 Oktober lalu, peguambela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berhujah permohonan dokumen membabitkan syarikat yang dikawal ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low dan keluarga Zeti ada pada pihak pendakwaan dan pihak berkuasa Malaysia.
Pihak berkuasa Singapura yang didakwa menyiasat skandal kewangan 1MDB di negara itu memberikan dokumen berkenaan kepada pihak berkuasa Malaysia termasuk BNM.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, berkata dokumen itu adalah pramatang dan tidak relevan dengan perbicaraan Najib, selain ia hanya boleh dimohon selepas perintah membela diri.
Katanya, tidak dinafikan kewujudan dokumen itu serta bebanan terletak pada pihak pembelaan untuk menunjukkan bahawa permohonan mereka adalah berdasarkan bukti yang boleh diterima dan bukannya keterangan bersifat dengar cakap.
Pada 12 Julai tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, menolak dua permohonan Najib yang meminta pendakwaan perbicaraan kes 1MDB mendedahkan dokumen perbankan dikaitkan dengan keluarga Zeti selepas dikatakan menerima wang daripada Jho Low.
Najib memfailkan permohonan pada 24 Mac tahun lalu untuk meminta pendakwaan memberikan penyata perbankan daripada beberapa syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd dan Central Holdings Ltd.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April tahun lalu untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Goldman Sachs Group pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik berhubung telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner.
Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – Malaysiapost

