Keputusan pilihan raya Padang Serai, Tioman bukti rakyat tak percaya PH-BN – Muhyiddin 

0
1
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=701013428049515&set=pb.100044225926298.-2207520000.&type=3

KEPUTUSAN pilihan raya Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang semalam, adalah bukti rakyat tidak mempercayai gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan itu juga menunjukkan rakyat tidak teruja dengan pembentukan kerajaan gabungan kedua-dua parti berkenaan.

Beliau berkata, sebaliknya kemenangan besar PN di Padang Serai dan kekalahan tipis di Tioman merupakan petanda positif sokongan padu rakyat kepada PN. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di Padang Serai dan Tioman yang telah memilih PN.

“Syukur ke hadrat Allah SWT, kemenangan besar PN di Padang Serai dan kekalahan tipis di Tioman merupakan petanda positif sokongan padu rakyat kepada PN. 

“Kedua-kedua kerusi ini masing-masing dimenangi oleh PH dan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, majoriti BN merosot hampir separuh di Tioman, manakala majoriti PN di Padang Serai dua kali ganda majoriti yang dimenangi oleh PH dalam PRU-14.

“Ini bukti rakyat tidak mempercayai gabungan PH dan BN. Mereka tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui oleh PH ini untuk mentadbir negara. Kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU 15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini telah beralih arah menyokong PN.

“Bagi saya, penipuan PH dan BN dalam PRU-15 adalah “the biggest electoral fraud ever” (penipuan pilihan raya terbesar) dan hari ini pengundi di Padang Serai dan Tioman telah memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti ini,” katanya.

Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Azman Nasrudin atas kemenangan cemerlang beliau di Padang Serai. 

“Kepada calon PN di Tioman, Nuridayu Hashim, teruskan perjuangan anda bersama PN. Kita berada di landasan yang benar.

“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera pilihan raya PN di Padang Serai dan Tioman atas komitmen dan kerja keras anda semua sepanjang tempoh berkempen,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here