PROSES melantik timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka selesai selewat-lewatnya dua minggu lagi.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, proses berkenaan sudah bermula dengan gabungan parti politik diminta mengemukakan nama calon sesuai.
“Mungkin akan ambil satu, dua minggu.. tetapi prosesnya sudah bermula,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), hari ini.
Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR itu mengesahkan perkara berkenaan ada dibincangkan secara ringkas dalam mesyuarat khas Kabinet semalam.
“Proses itu akan berjalan minggu ini dan sama seperti kita gunakan untuk membentuk Kabinet. Dari segi jumlah daripada gabungan, ia bergantung kepada jumlah sumbangan Ahli Parlimen itu sendiri.
“Perdana Menteri akan menentukan portfolio yang dirasakan sesuai dan terpulang kepada gabungan untuk mencalonkan nama.
“Perdana Menteri akan melihat kesesuaian, kepakaran dan pengalaman sebelum dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – Malaysiapost

