MENTERI Sumber Manusia, V Sivakumar menegaskan tanggungjawab menjaga kesejahteraan rakyat termasuk kaum India adalah tanggungjawab semua Jemaah Menteri, bukannya terletak pada bahunya seorang.
Justeru, beliau berkata, tanggapan bahawa nasib dan kebajikan kaum India bakal terpinggir hanya kerana beliau satu-satunya menteri mewakili kaum itu dalam Kabinet sepatutnya tidak timbul.
Katanya, selain beliau yang menganggotai Kabinet, terdapat ramai wakil kaum India dalam Parlimen yang boleh bersama-sama membantu kerajaan membuat dasar seimbang tanpa meminggirkan hak mana-mana kaum.
“Masalah dan kesejahteraan kaum India bukan hanya terletak di bahu seorang menteri India saja, sebaliknya ia perlu ditangani semua Jemaah Menteri yang dilantik.
“Kita (Kabinet) akan pastikan dalam setiap dasar yang dibuat adalah untuk rakyat tanpa meminggirkan mana-mana kaum,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Ahli Parlimen Batu Gajah itu menjadi satu-satunya wakil rakyat daripada kaum India dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada Sabtu lalu, Sivakumar bersama dua Timbalan Perdana Menteri dan 24 menteri lain mengangkat sumpah jawatan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Mengenai perancangan dan visinya menerajui kementerian itu, Sivakumar berkata, fokus utama beliau adalah berusaha menyelesaikan isu berkaitan sumber manusia dan pekerjaan, selain memastikan KSM mampu menjadi kementerian cemerlang.
Beliau memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk bertemu dan berbincang dengan semua agensi KSM bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung pengoperasian kementerian itu secara keseluruhan.
“Beri ruang kepada saya seminggu atau dua minggu lagi untuk mengkaji dan mendalami dengan lebih terperinci berkenaan kementerian ini sebelum melaksanakan agenda dirancang,” katanya. – Malaysiapost

