PARTI Solidariti Tanah Airku (STAR) keluar daripada Perikatan Nasional (PN), hari ini.
Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata pengumuman secara rasmi mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.
“Ya (STAR sah keluar dari PN), kita tunggu pengumuman, sebab kalau kau pergi sini saya pergi sana bererti tidak sehaluanlah tu,” katanya kepada media di Bangunan Yayasan Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.
Jawapan ringkas Jeffrey yang juga bekas Timbalan Pengerusi PN itu merungkai teka teki ungkapan ‘bercerai’ mengenai kedudukan STAR dalam gabungan itu.
“Itu sahajalah tunggu pengumuman,” katanya ringkas.
Jefrey yang Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini dilaporkan sudah membincangkan kedudukan STAR menerusi mesyuarat biro politik partinya.
STAR sebelum ini adalah parti komponen PN yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN-15) pada 2020.
Susulan itu, GRS kini dianggotai Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Sementara itu, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah mengalu-alukan kerjasama kementeriannya dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Mohamad Sabu, beliau berharap penekanan dasar dan polisi terutama kepada pengeluaran sekuriti makanan dapat diselaraskan sebaik mungkin antara peringkat negeri dan pusat. – Malaysiapost

