
JEMAAH Malaysia kini diwajibkan menggunakan imbasan biometrik bagi mendapatkan visa umrah elektronik (E-Visa).
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang dipetik Agensi Berita Saudi (SPA) mengumumkan jemaah umrah dari lima negara wajib menyediakan data biometrik itu termasuk cap jari.
Menurut Bernama, lima negara itu ialah United Kingdom, Tunisia, Kuwait, Bangladesh dan Malaysia.
“Jemaah perlu menggunakan aplikasi Saudi Visa Bio yang membolehkan pendaftaran secara pengesahan biometrik termasuk cap jari, wajah, mata dan salinan pasport untuk umrah”, katanya.
Aplikasi baharu itu merupakan komitmen kerajaan Arab Saudi untuk membenarkan pendaftaran biometrik menerusi peranti mudah alih.
Ia sekali gus menjadikannya antara yang pertama di dunia menerima pengesahan biometrik menerusi telefon pintar untuk pengeluaran visa.
Kementerian turut menjelaskan bahawa inisiatif ini dibangunkan bagi memudahkan urusan jemaah yang ingin ke Makkah tanpa perlu mengunjungi pejabat visa secara fizikal. – Malaysiapost
