PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlaku adil untuk menyiasat sama pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menyentuh sensitiviti umat Islam.
Beliau berkata, siasatan segera perlu dijalankan oleh PDRM sama seperti beliau yang dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.
Jelasnya, beberapa laporan polis terhadap pimpinan PH sebelum ini telah dibuat oleh ahli PAS serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agama.
“Ini giliran saya dan saya nampak kerajaan baharu ini sangat aktiflah, pro aktif. Jadi, saya minta supaya giliran pihak puak PH yang menyentuh umat Islam juga disegerakan siasat sama.
“Kita tunggu dan lihat serta saya harap ia perlu disiasat sama macam saya supaya berlaku adil,” katanya selepas memberi keterangan di IPD Sentul, Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Abdul Hadi dipanggil bagi membantu siasatan susulan laporan polis dibuat di IPD Sentul dan IPD Dang Wangi di Kuala Lumpur serta IPD Alor Setar di Kedah.
Abdul Hadi sebelum ini mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia dan menghalang PAS daripada berkuasa, selain menyifatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu ‘tidak bermoral’.
“Saya bersedia untuk tindakan selanjutnya sama ada ke mahkamah atau sebagainya,” katanya. – Malaysiapost

