PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim “menegur” pemilik Padiberas Nasional Berhad (Bernas) Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary berhubung monopoli import beras oleh Bernas.
Beliau berkata, Bernas telah bersetuju untuk berkongsi keuntungan dengan pesawah sekali gus akan membuat pembayaran kepada pesawah.
“Kita tak boleh bebankan seorang (iaitu) Syed Mokhtar sehingga kita dapat teliti sama dan keuntungan dan pulangan dia berpatutan.
“(Tetapi) saya gesa untuk dia lakukan sesuatu dengan segera, dan dia akan peruntukkan RM10 juta kepada pesawah padi miskin, bulan ini juga.
“Mulai tahun depan, (pembayaran kepada pesawah miskin) RM50 juta dari Bernas,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Untuk info, Syed Mokhtar memiliki 92 peratus saham Bernas yang dibelinya daripada Shahidan Kassim dan ahli perniagaan Tan Boon Seng pada 2014.
Anwar menjelaskan, beliau memahami Syed Mokhtar mungkin masih ada baki pembayaran untuk dibuat berkaitan pembelian pegangan itu, pada masa sama menegaskan kerajaan tidak akan benarkan pembolotan kekayaan oleh ahli politik dan kalangan yang dekat dengan mereka dengan menghisap darah pesawah padi yang miskin.
“Ini yang kita katakan tata kelola (governance), bukan slogan Melayu dan Islam (sahaja) tetapi pelaksanaan (dasar),” katanya.
Enam bulan lalu, Anwar pernah menyuarakan agar Bernas berkongsi keuntungan dengan pesawah miskin di negara ini.
Sementara itu, Anwar berkata, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengumumkan langkah untuk menjamin bekalan telur mencukupi dengan harga lebih rendah, esok.
Perdana Menteri berkata, ia dilakukan dengan mengurangkan kebergantungan terhadap kartel. – Malaysiapost

