Kabinet baharu cerminan citra Malaysia – Asyraf Wajdi

0
1

KABINET baharu yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan kerajaan mewakili citra Malaysia, kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut Ketua Pemuda Umno itu, Jemaah Menteri mewakili pelbagai kaum dengan teras tunjangnya adalah Islam Melayu-Bumiputera.

“Secara umumnya, komposisi Menteri Kerajaan Perpaduan terdiri daripada 20 menteri beragama Islam Melayu-Bumiputera iaitu 71 peratus manakala lapan bukan Islam iaitu 29 peratus,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Asyraf Wajdi turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua Jemaah Menteri yang dilantik dan berharap mereka dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.

“Tahniah! semoga dapat memfokuskan segala usaha dan kudrat untuk kesejahteraan rakyat dengan penuh amanah dan dedikasi,” katanya.

Sementara itu, dalam ruangan komennya, beliau menempelak netizen yang ‘koyak’ dan cuba mengambil kenyataan lamanya yang tidak lagi relevan.

Menurutnya, politik adalah dinamik, perubahan pendirian politik banyak bergantung kepada situasi zaman tersebut.

“Kalau nak ungkit, boleh lihat pendirian PAS ketika mendokong DAP menubuhkan Kerajaan Selangor dan Perak pada 2008.

“Waktu itu fatwa PAS, ‘bersahabat dengan orang kafir lebih afdal berbanding dengan orang Islam yang zalim.

“Malah PAS boleh bersama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menggelarkannya sebagai parti ajaran sesat.

“Ini menunjukkan bagaimana PAS mengamalkan politik pragmatik dan berfatwa mengikut kepentingan dan percaturan politik mereka,” katanya.

Justeru, Asyraf Wajdi berkata, Umno juga berhak membuat pendirian baharu selepas keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak bersama Anwar, DAP dan Bersatu.

“Akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar negara boleh bergerak dengan stabil, Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat keputusan baharu untuk menyertai Kerajaan Perpaduan yang disertai parti sebelum ini menjadi musuh politik Umno.

“Apakah apabila PAS pernah bergabung dengan DAP maka halal, tetapi apabila Umno pula bergabung difatwa haram?” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here