PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tidak akan mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya kini jika, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berada disisinya.
Justeru, beliau bersyukur kerana insan yang disifatkannya sebagai seorang isteri yang tabah itu ada bersama dengannya dalam menjalankan amanah digalas ketika ini.
“Seorang insan, wanita, isteri yang tabah, penyayang dan berbakti. Seorang ibu yang tidak pernah jemu mencurahkan kasih sayang.
“Saya sentiasa bersyukur. Tanpa Azizah di sisi, tidak mungkin saya mampu menggalas amanah yang cukup berat saat ini. Saya berdoa agar Azizah sentiasa dibawah lindungan-Nya. Happy Birthday!” katanya di Facebook.
Perdana Menteri meluahkan kata-kata itu sempena ulang tahun kelahiran isterinya dan turut memuatnaik sekeping foto yang diambil ketika sidang media pertama beliau sebagai Perdana Menteri yang ke-10 pada 24 November lalu.
Wan Azizah yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri menyambut ulang tahun hari kelahiran yang ke-70 hari ini.
Pasangan pemimpin negara itu mendirikan rumah tangga pada 28 Februari 1980 dan dikurniakan enam cahaya mata. – Malaysiapost

