‘Orang yang paling takut kini adalah Tun M’ – Shahrir

0
1
shahrir samad

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad kini menjadi ‘orang’ paling takut dengan gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelasnya, ini kerana bekas Perdana Menteri itu adalah ‘musuh’ lama kepada Anwar dan Ahmad Zahid iaitu sebelum wujudnya gerakan reformasi lagi.

“Orang yang paling bimbang ialah Tun Mahathir kerana Anwar dan Zahid seteru Tun Mahathir sebelum adanya Reformasi lagi,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Shahrir mengakui dakyah ‘satu undi untuk BN, satu undi untuk Zahid’ yang dimainkan pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), begitu kuat sehingga menyebabkan ada kawasan lain yang ditandingi BN terkena tempias.

Katanya, perkara itu dapat dilihat apabila jiran kepada calon BN Parlimen Johor Bahru, Johan Arifin Mohd Ropi mengakui enggan memilih BN kerana menolak kehadiran Ahmad Zahid.

“Begitu kuat dakyah ‘Satu undi untuk BN, satu undi untuk Zahid’ sehingga Parlimen JB dan calon BN yang tidak ada kena mengena dengan Zahid Hamidi turut terkena bahang darinya.

“Jiran tak jiran, kenal tak kenal, JB tak JB, ianya tidak lagi penting dalam soal pilihan raya kali ini. Tolak BN kerana Zahid,” katanya.

Justeru, Shahrir berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya ‘kembali semula’ kepada Ahmad Zahid yang juga rakan dan parti lamanya demi mencapai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri.

“Retorik semasa pilihanraya terhenti serta-merta dan realiti politik – kedudukan dan kuasa – menjadi dorongan.

“Anwar terpaksa ambil juga Zahid walaupun jiran Johan Ropi menolaknya. Entahlah apa rasanya jirannya sekarang?,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrir merumuskan bahawa kerjasama BN dan PH ini memberi beberapa manfaat kepada gabungan itu, termasuk dapat menjadi kerajaan di lima negeri.

“Selain, (lantikan Kabinet di)Kementerian-kementerian yang berkait rapat dengan kelompok pengundi yang merupakan teras sokongannya.

“Cerita politik yang belum habis dan akan bersambung,” katanya.

Malam tadi, Anwar mengumumkan barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang membabitkan 28 menteri termasuk beliau yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan selain Perdana Menteri.

Sementara, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof masing-masing dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here