PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai asas tertentu apabila melantik Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Bekas Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengakui keputusan itu diambil, sungguhpun wujud nada kemarahan dalam kalangan rakyat.
“Semasa sarapan di Parit 19 tadi, pelbagai reaksi diterima mengenai Kabinet YAB Perdana Menteri @anwaribrahim, khususnya pelantikan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri, yang rata-rata mengundang kemarahan.
“Namun, keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri tentunya berasas – ibarat kilat di dalam kilau, kabus di dalam hujan,” katanya menerusi ciapan Twitter, hari ini.
Malam tadi, Anwar mengumumkan Ahmad Zahid dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri I dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinannya yang turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Ini adalah kali kedua Presiden Umno itu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri termasuk ketika di bawah kerajaan Datuk Seri Najib Razak. – Malaysiapost

