Netizen bimbang murid SRA jawab peperiksaan sambil kaki berendam air banjir

0
1

Rakaman video memaparkan murid dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Balak, Kajang terpaksa menduduki peperiksaan Ujian Kelas KAFA (UPKK) dalam kelas yang dinaiki air, menerima pelbagai reaksi selepas tular di media sosial semalam.

Dalam video tersebut, murid sekolah berkenaan menduduki ujian itu dalam keadaan kelas dinaiki air sehingga paras betis akibat hujan lebat.

Walaupun terpaksa menjawab kertas ujian dalam keadaan kaki berendam dalam air banjir, murid tersebut tetap hadir lengkap berpakaian seragam sekolah.

Menerusi komen yang ditinggalkan netizen di video itu, mereka bimbang dengan keselamatan murid-murid kerana keadaan banjir tidak boleh dijangka.

Segelintir juga berpendapat peperiksaan itu sepatutnya ditangguhkan kerana sekolah dinaiki air, dan keselamatan murid-murid perlu diutamankan.

“Kenapa tidak tangguhkan sahaja peperiksaan. Sangat bahaya keadaan ini. Kita tidak tahu apa yang ada dalam air banjir,” kata seorang pengguna media sosial.

“Bagus lihat semangat macam ini. Tapi setiap peperiksaan sudah ada back up jika berlaku bencana. Boleh ditangguhkan atas sebab keselamatan,” kata netizen.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan memaklumkan hujan lebat dijangka akan berterusan selama tiga hari berturut-turut di sekitar Lembah Klang dan juga Pantai Timur bermula 1 Disember. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here