JPS keluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir

0
1

PUSAT Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hari ini mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 24 jam membabitkan 11 negeri.

Notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan PRABN jam 3 petang tadi berdasarkan maklumat ramalan hujan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) serta model ramalan banjir JPS.

Menurut notis berkenaan, ramalan-ramalan terbabit mendapati terdapat risiko kejadian banjir kilat di beberapa lokasi sekiranya hujan lebat dan ribut petir yang signifikan berlaku.

“Notis kesiapsiagaan ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut.

“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.

“Sila layari laman sesawang https://PublicInfobanjir.water.gov.my, Facebook PublicInfoBanjir dan Twitter JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” menurut notis berkenaan.

Notis terbabit turut menyenaraikan lokasi ‘hotspot’ yang berisiko banjir kilat di 11 negeri iaitu Kedah membabitkan daerah Kota Setar dan Kubang Pasu, manakala Pulau Pinang membabitkan daerah Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Utara.

Perak pula membabitkan daerah Larut, Matang dan Selama, selain Kerian, Hilir Perak, Bagan Datuk dan Perak Tengah, manakala Johor di daerah Kota Tinggi, Mersing, Pontian dan Muar.

Di Selangor, lokasi berisiko banjir adalah di daerah Kuala Langat dan Sepang, sementara Negeri Sembilan di daerah Port Dickson, manakala Kuala Lumpur membabitkan kawasan sekitar ibu negara.

Kawasan berisiko di Pahang yang dikeluarkan notis adalah Kuantan, Maran dan Rompin, manakala Terengganu di Besut dan Kelantan daerah Kota Bharu serta Pasir Mas, dan terakhir di Sarawak membabitkan Bahagian Limbang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here