HOSPITAL Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands secara rasminya memulakan operasi kes pembedahan Anestesia Am
(General Anaesthesia) pada hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkhidmatan itu dijalankan dengan bantuan kepakaran dan tenaga kerja daripada Hospital Kuala Lipis dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Menurutnya Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, bukanlah hospital peneraju di bawah Kluster Pahang Barat yang diketuai oleh Hospital Kuala Lipis sebagai hospital peneraju.
“Hospital ini telah beroperasi bermula 1 Januari 2007 dengan menyediakan kemudahan sebanyak 28 katil, tetapi bermula tahun 2015 hingga kini bilangan katil adalah sebanyak 40 katil.
“Kini, Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, telah mempunyai 218 orang kakitangan dari pelbagai kategori jawatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang bersama Perkhidmatan Anestesiologi Negeri Pahang kemudian merancang untuk mengoptimumkan penggunaan Dewan Bedah Hospital Sultanah Hajjah Kalsom dengan memulakan perkhidmatan secara pembedahan global (global surgery).
“Perkhidmatan yang dimulakan di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, melibatkan perkhidmatan pembedahan am, ortopedik dan ginekologi.
“Dengan pengoperasian secara Global Surgery, hospital ini dapat mengembangkan perkhidmatan pembedahan untuk masyarakat di Cameron Highlands berdasarkan kemudahan infrastruktur sedia ada dan berkemampuan untuk ditambah baik.” katanya.
Menurutnya, kejayaan itu juga boleh mengurangkan beban pembedahan yang sebelum ini tertumpu di Hospital Kuala Lipis sebagai hospital rujukan.
“Sehubungan itu, secara rasminya Dewan Bedah Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands memulakan operasi kes pembedahan dibawah General Anaesthesia pada 1 Disember 2022.
“Setinggi-tinggi penghargaan ribuan terima kasih kepada JKN Pahang, HTAA dan Hospital Kuala Lipis atas kerjasama produktif bagi menjayakan pengoperasian kes pembedahan General Anaesthesia di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom,” katanya. – Malaysiapost

