AHLI Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tidak bersetuju dengan istilah Kerajaan Perpaduan yang merujuk kepada kerajaan yang memerintah hari ini.
Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu itu berkata, istilah Kerajaan Perpaduan yang digunakan secara meluas oleh media massa dan pimpinan politik yang berada dalam kerajaan ketika ini adalah tidak tepat dan salah.
“Saya sebenarnya tidak bersetuju, malah fakta ini salah kerana konsep Kerajaan Perpaduan ialah tiada pembangkang.
“Kita tahu Perikatan Nasional (PN) bersetuju menjadi pembangkang. Justeru, tidak timbul kerajaan hari ini adalah Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi rakaman video yang dimuatnaik di Facebooknya.
Bekas Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu berkata, istilah yang tepat untuk kerajaan hari ini adalah Kerajaan Minoriti ataupun Kerajaan Campuran yang diketuai Pakatan Harapan (PH).
“Itu sebenarnya fakta yang memberi gambaran jelas. Jadi, sama-samalah kita perbetulkan konsep ini supaya rakyat penjawat awam dan pengundi tidak keliru,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau bersama Ahli Parlimen pembangkang yang lain bertekad untuk menjadi pembangkang bermaruah bagi membawa suara rakyat di Parlimen.
” (Justeru) didoakan semoga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menggalas amanah yang besar untuk membawa kemakmuran kepada negara,” katanya.
Khamis lalu, Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang memimpin sebuah kerajaan yang dianggotai PH (82 kerusi) dan diikuti Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), dan Gabungan Rakyat Sabah (enam).
Selain itu, kerajaan pimpinan Anwar juga dianggotai parti-parti lain dengan keseluruhan kekuatan kini hampir mencecah dua pertiga Ahli Parlimen. – Malaysiapost

