Tuduh Anwar ejen Israel: Hadi nafi, namun sedia ke Bukit Aman

0
1

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan tidak pernah menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Beliau juga memaklumkan sedia untuk disiasat Bukit Aman berhubung dengan isu berkenaan.

“Siapa kata (Anwar ejen Israel)? Saya tak kata, kalau saya tak kata, dia yang kata… terserah dialah.

“Bukit Aman tahu apa saya kata, tak kata sebab apabila saya ceramah pun dia rakam, kenyataan media saya pun Bukit Aman baca.

“Saya kata, tak kata ke terpulang,” katanya dalam sidang media selepas ceramah umum sempena pilihan raya kecil (PRK) Tioman di bandar Rompin, malam tadi.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media kononnya beliau disiasat Bukit Aman kerana menuduh Anwar ejen Israel.

Beliau turut mengesahkan belum dihubungi pihak berkuasa berhubung perkara tersebut.

“Ya, memang kita terbuka, sedia disiasat, tapi (buat masa ini) tak dapat panggilan dari Bukit Aman, tak ada, tak adalah tu.

“Saya bukan sekali dua dipanggil Bukit Aman. Saya boleh pergi Bukit Aman, tak jadi masalah,” katanya lagi.

Semalam, Bukit Aman mengeluarkan kenyataan media berkaitan siasatan sedang dijalankan terhadap Presiden PAS itu susulan dakwaan beliau menuduh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) terbabit sebagai ejen Israel.

Sebelum itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, Anwar sudah mengarahkan pihak polis mengambil tindakan terhadap pihak yang mengaitkannya sebagai ejen Israel.

Bagaimanapun, kenyataan media awal itu kemudian diubah dengan pindaan bahawa siasatan dijalankan terhadap Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad dan bukannya Abdul Hadi.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 504, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Hadi Awang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here