PAS mendedahkan pihaknya menawarkan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail jawatan menteri penuh di peringkat Persekutuan sebagai senator, jika Menteri Besar Pahang itu menyatakan minat.
Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ia antara yang ditawarkan kepada Wan Rosdy dalam perbincangan bagi menyelesaikan kemelut politik di Pahang.
Tambah Tuan Ibrahim, jika Wan Rosdy mahu kekal di Pahang, beliau boleh terus kekal sebagai Menteri Besar melalui kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, tawaran itu antara beberapa kaedah penyelesaian yang dicadangkan PN susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tergantung selepas PRU15 lalu.
“Kami telah mengadakan pertemuan pertama menyatakan kita bersedia sekiranya kami atau kita menguasai kerajaan Persekutuan, kita tawar beliau (Wan Rosdy) sekiranya berminat untuk diangkat sebagai menteri penuh di peringkat Persekutuan sebagai Senator.
“Atau sekiranya beliau ingin kekal di Pahang, kita setuju dia kekal sebagai Menteri Besar,” kata Tuan Ibrahim menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya.
Katanya lagi, walaupun BN memiliki 16 kerusi DUN, manakala PN dengan 17 kerusi, pihaknya memilih jalan penyelesaian secara adil iaitu pembentukan Kabinet atau Exco Pahang terdiri daripada 50-50 – 50 daripada PN dan 50 daripada BN.
Beliau berkata, jawatan lain seperti Speaker dicadangkan diberi kepada PN kerana BN telah diberi jawatan Menteri Besar, manakala Timbalan Speaker daripada BN.
“Timbalan Menteri Besar atau Timbalan kepada Menteri Besar daripada PN manakala Exco lima daripada BN dan lima daripada PN.
“Selain itu lima lantikan ADUN. Ya kita buat oleh kerana beliau pegang Menteri Besar, kita cadangkan PN dapat tiga kerusi dan BN dua.
“Kami anggap ini adil kerana kedudukan kita hampir seimbang, 16 dan 17 kerusi. Tetapi beliau maklum pada kami PH juga menghubungi dan tawarkan dia sebagai Menteri Besar,” katanya.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata, beliau membawa isu itu kepada pimpinan parti dan mengadakan pertemuan kedua bersama Wan Rosdy menyatakan PN bersedia kompromi untuk pembentukan kerajaan negeri namun BN menolak untuk bekerjasama.
“Saya dimaklumkan mesyuarat BN Pahang memutuskan bahawa mereka kekal bersama PH Pahang,” katanya lagi. – Malaysiapost

