Selepas 2 tahun, Scoot kini kembali terbang ke Kuantan

0
1

Ben Ibrahim

SELEPAS hampir dua tahun tidak menawarkan penerbangan ke Pahang, Scoot kembali ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Kuantan hari ini.

Penerbangan sulung pesawat Airbus A320 milik syarikat tambang murah Singapura itu membawa 180 penumpang, disambut Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Pahang, Datuk Razihan Adzharuddin dan Timbalan Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof.

Razihan berkata, sebanyak tiga penerbangan ditawarkan Scoot seminggu bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelancong Singapura berkunjung ke Pahang.

“Pemilihan Kuantan sebagai destinasi syarikat penerbangan itu kerana negeri ini memiliki pelbagai tarikan pelancongan untuk dilawati sama ada pelancong Singapura mahupun antarabangsa.

“Sudah pasti laluan baharu ini secara langsung memberi manfaat kepada industri pelancongan Pahang sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat,” katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan penumpang Scoot di LTSAS.

Scoot menghentikan operasi penerbangan terus dari Singapura ke Kuantan sejak dua tahun lalu berikutan penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Iskandar Mirza berkata, Kuantan adalah destinasi keempat syarikat penerbangan tambang rendah Singapura itu di Malaysia.

“Sebelum ini mereka sudah menyediakan perkhidmatan penerbangan terus dari Singapura ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Langkawi.

“Jadi, Kuantan adalah destinasi keempat mereka dan saya yakin pemilihan ini disebabkan permintaan tinggi dalam kalangan pelancongan di Singapura itu sendiri,” katanya.

Scoot menyediakan penerbangan dari Singapura – Kuantan – Singapura pada Rabu, Jumaat dan Ahad.

Setiap penerbangan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi sekitar jam 10.15 pagi dan dari LTSAS jam 11.15 pagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here