Wan Rosdy angkat sumpah Menteri Besar Pahang Ke-15

0
2

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang Ke-15 di Balairung, Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini.

Istiadat angkat sumpah itu sekali gus menamatkan kemelut politik yang melanda negeri itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas tiada gabungan parti politik meraih kemenangan dengan majoriti mudah.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Ke-15 kepada Wan Rosdy di Istana Abu Bakar.

Pada istiadat tersebut, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman turut membacakan doa untuk kesejahteraan negeri tersebut.

Semalam, Tengku Hassanal memperkenan pembentukan kerajaan negeri ini daripada parti BN dan Pakatan Harapan (PH).

Berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah sepertimana yang dinyatakan dalam Bahagian I, Perkara 3 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Tengku Hassanal juga berkenan melantik Wan Rosdy sebagai Menteri Besar.

Pada PRU15 Sabtu lalu, Perikatan Nasional (PN) Pahang menang 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN (16 kerusi) dan PH (lapan kerusi) sekali gus tiada parti memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

Untuk membentuk kerajaan negeri, mana-mana parti perlu menang majoriti mudah sekurang-kurangnya 22 kerusi DUN. – Malaysiapost

Kredit foto: Utusan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here