Orang baik dan orang jahat tak boleh duduk bersama – Tuan Ibrahim

0
2

PAS menyifatkan kerajaan baharu yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan kerajaan perpaduan, sebaliknya merupakan kerajaan campuran.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan perpaduan mestilah melibatkan semua parti, namun kerajaan baharu yang dibentuk ini hanya membabitkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) dan beberapa parti kecil lain.

Tegasnya, Perikatan Nasional (PN) tidak sesekali menyesal dengan keputusan tidak menyertai kerajaan baharu walaupun memiliki kerusi yang kedua terbanyak iaitu 73 pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November lalu.

“Kita perlu hormat kepada parti utama, kita lihat rakyat sudah memberi mandat kepada PN, malah PAS sahaja menang 49 kerusi, sebagai parti yang menang kerusi tertinggi. Bagaimanapun, apa yang rakyat nak tidak ada dalam kerajaan.

“Namun, apa yang penting bagi kita ialah untuk terima keputusan yang sudah dibuat dan kami (PN) akan turun sebagai satu kumpulan yang teguh untuk bagi pandangan terbaik demi kebaikan seluruh rakyat,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, PN akan memainkan peranannya sebagai pembangkang dan akan menggunakan ‘kepakaran’ gabungan itu untuk memantau dasar kerajaan serta bertindak sebagai semak dan imbang kepada kerajaan baharu.

“Tambahan pula, kita kini mempunyai jumlah kerusi yang besar, kita akan memantau setiap satu komitmen dan manifesto kerajaan, khususnya sewaktu yang dijanjikan ketika berkempen termasuk untuk mengecilkan saiz Kabinet,” katanya.

Tuan Ibrahim menambah, PN juga akan melihat sejauh mana Anwar dapat melaksanakan apa yang beliau janjikan sepanjang kempen PRU15 yang lalu.

“PN terima keputusan pembentukan kerajaan hari ini selain bersedia menjadi pembangkang yang membina,” katanya dan secara sinis menambah, ‘orang baik’ dan ‘orang jahat’ tidak boleh duduk bersama,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here