TINDAKAN Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak untuk menggunakan kenderaan rasmi (import) yang baharu bukan perkara luar biasa.
Perkara itu dikongsi Ruhaidini Abd Kadir bekas Pegawai Khas Perdana Menteri sebelum ini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
“Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan untuk beliau.
“Sepanjang bergelar Perdana Menteri, Ismail Sabri lebih selesa menggunakan kenderaan jenis MPV yang telah digunakan oleh pentadbiran terdahulu.
“Bahkan, Ismail Sabri juga enggan meluluskan permohonan untuk mengubahsuai pesawat khas (Perdana 1) bagi kegunaan rasmi Perdana Menteri.
“Ismail Sabri juga terus tinggal di rumah peribadi dan memilih untuk tidak berpindah ke Seri Perdana, meskipun kediaman rasmi Perdana Menteri telah indah diubahsuai,” katanya.
Terdahulu, Anwar menerusi Facebook memberitahu, beliau menolak untuk menggunakan kereta jenis Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum beliau memasuki pejabat.
Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil kerana beliau tidak mahu sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atasnya.
“Saya ingin memaklumkan bahawa semalam saya telah menolak untuk menggunakan sebuah kenderaan jenis Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum saya memasuki pejabat.
“Langkah tersebut diambil kerana saya tidak mahukan sebarang perbelanjaan baru dibuat ke atas saya.
“Sebaliknya, saya telah membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian,” katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi. -Malaysiapost

