Tun M harap penyokong GTA tidak hilang semangat, terus berjuang 

0
1

PENGERUSI Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad, menasihati penyokong parti itu supaya tidak terlalu bersedih dengan kekalahan gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, beliau berharap penyokong dan pengundi parti itu tidak hilang semangat untuk meneruskan perjuangan demi bangsa dan negara.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, walaupun bilangan ahli dan penyokong GTA/Pejuang tidak ramai, namun ia tidak bermakna perjuangan gabungan itu tidak benar. 

“Malahan, kerana berpegang kepada prinsip perjuangan itulah kita kadang-kala dipinggir.

“Saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan tidak merasa terlalu sedih dan hilang semangat untuk meneruskan perjuangan kita untuk bangsa kita, agama kita dan juga tanah air kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir juga mengucapkan terima kasih kepada 4,566 pengundi yang telah memberi undi kepada beliau untuk kerusi parlimen Langkawi pada PRU15, minggu lalu.

“Saya tidak tahu siapa yang telah mengundi saya kerana undi itu rahsia. Jadi saya tidak ada jalan lain untuk ucap berbanyak terima-kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana dengan berani memberi undi kepada saya (kecuali) melalui surat terbuka ini.

“Walaupun saya mungkin tidak kenal setiap seorang dari tuan-tuan dan puan-puan tetapi saya merasa sangat berbesar hati kerana semangat, keberanian dan penolakan rasuah oleh semua untuk memberi undi kepada saya yang mewakili Pejuang/GTA,” katanya.

Pada PRU15 lalu, GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang, gagal mendapat sebarang kerusi di 125 kawasan yang mereka bertanding.

Malah, Dr Mahathir kalah teruk di tangan calon Perikatan Nasional (PN) sehingga hilang wang deposit apabila hanya meraih 4,566 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here