PAS menyatakan pendirian tidak akan menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata pendirian tidak akan menyertai Kerajaan Persekutuan itu dicapai selepas membuat pertimbangan daripada pelbagai sudut serta meneliti pendapat umum.
“Demi menghormati kepercayaan dan mandat majoriti rakyat khususnya para pengundi yang telah memilih PAS dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Takiyuddin berkata, PAS akan terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan menasihati semua pihak bagi memastikan tadbir urus negara berjalan lancar dan dapat ditegakkan berpaksikan kepada prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil.
Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu dalam kenyataan berpendirian untuk tidak menyertai kerajaan yang diterajui oleh PH.
“Atas semangat untuk menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak dan imbang yang berkesan dalam Parlimen, PN berpendirian untuk tidak menyertai kerajaan diteraju PH.
“PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajan berintegriti dan bebas rasuah selaras prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil,” katanya.
Menurut Muhyiddin, demi untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia untuk merintis bentuk kerjasama lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup antara kerajaan dan pembangkang.
Kerajaan Perpaduan yang dibentuk Khamis lalu menyaksikan gabungan antara PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). – Malaysiapost

