PM ‘caretaker’ tidak wujud dalam Perlembagaan – Philip Koh

0
1

PROFESOR Adjung di Universiti Malaya, Philip Koh menjelaskan Perdana Menteri ‘caretaker’ atau sementara tidak wujud dalam Perlembagaan negara.

Beliau yang juga pakar Perlembagaan menolak tanggapan bahawa Perdana Menteri ‘caretaker’ boleh dilantik susulan tiada gabungan yang mendapat majoriti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Istilah ‘caretaker’ dilampirkan untuk menggambarkan ketua eksekutif Jemaah Menteri, contohnya pemegang jawatan selepas Parlimen dibubarkan sehingga individu baharu yang menguasai majoriti dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Kata sifat seperti ‘interim’ dan ‘caretaker’ tidak terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya lapor FMT.

Beliau mengulas kenyataan wartawan veteran, Terence Netto supaya Perdana Menteri sementara dilantik susulan tiada pembentukan kerajaan selepas pasca PRU-15.

Menurut Koh, Yang di-Pertuan Agong akan memilih seorang Ahli Parlimen yang berkemungkinan mendapat kepercayaan Dewan Rakyat apabila ia bersidang.

“Ini bermakna Baginda mempunyai budi bicara dari segi perlembagaan untuk membuat penilaian objektif,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, masalah dengan Perlembagaan Persekutuan adalah ia tidak memberikan sebarang panduan untuk budi bicara sedemikian.

“Oleh itu, kini wujud perdebatan antara penyokong model Westminster, yang menjadi asas sistem Parlimen negara, dan mereka yang berpendapat Perlembagaan negara tidak mempunyai kekangan seperti itu melalui konvensyen.

“Jadi berhubung melantik Ahli Parlimen dengan sokongan terbanyak, masalah yang timbul adalah bagaimana untuk memastikan sokongan.

“Perdana Menteri dilantik tertakluk kepada undi percaya di Dewan Rakyat. Itu akan menyelesaikan kebuntuan,” katanya.

Pada PRU-15 Sabtu lalu, tiada mana-mana gabungan yang memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Philip Tn Koh

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here