Bantu calon BN menang di Padang Serai

0
1

KETUA Umno Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa menyeru semua ahli Barisan Nasional (BN) memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Bahagian Parlimen Padang Serai, Kedah yang bermula hari ini.

Beliau berkata, usaha perlu diberikan dalam membantu calon BN bertanding di kawasan berkenaan yang juga kubu kuat PKR dan Pakatan Harapan (PH).

“Insya-Allah Jumaat ini saya dan kawan kawan akan turun berkampung di Padang Serai membantu calon BN.

“Kita turun padang walau seberat mana sekalipun bertanding di kubu kuat PH/PKR ini. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, beliau turut menyeru agar urusan pembentukan kerajaan pasca PRU-15 membabitkan 30 Ahli Parlimen BN kepada parti untuk membuat ketetapan yang sewajarnya.

“Kita serahkan urusan 30 ahli parlimen BN kepada parti utk membuat ketetapan yang sewajarnya,” katanya.

Proses penamaan calon bagi PRU-15 Bahagian Parlimen Padang Serai diadakan semula hari ini selepas proses pengundian yang sepatutnya diadakan 19 November lalu ditangguhkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR turut menetapkan proses sama diadakan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hari ini.

Pengundian di Parlimen Padang Serai ditangguhkan berikutan kematian calonnya sebelum hari mengundi iaitu M Karupaiya daripada Pakatan Harapan (PH).

Manakala DUN Tioman pula ditangguhkan susulan kematian calon mewakili Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli yang dilaporkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian diadakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here