BAPA tiri kepada kanak-kanak perempuan yang maut dipercayai didera di rumah mereka di Taman Sri Ramal, Selasa lalu, direman selama lima hari.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata suspek berusia 53 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Isnin depan.
Semalam, media melaporkan, mangsa berusia 11 tahun meninggal selepas cedera di kepala akibat dihentak objek tumpul, selain ususnya pecah, dipercayai didera.
Mohd Zaid dipetik berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Serdang selepas tidak sedarkan diri pada jam 11.33 malam Selasa lalu.
Katanya, mangsa yang menaiki ambulans disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa dipercayai akibat kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan perut yang menyebabkan usus pecah.
Malah, terdapat juga kesan cedera lebam di bahagian punggung, buah dada dan lengan tangan mangsa.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori. – Malaysiapost

