‘Superman Hew’ ditahan ceramah berbaur perkauman

0
2

POLIS Pahang hari ini menahan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau bagi membantu siasatan berhubung satu ucapan berbaur perkauman dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata Kuan Yau, 52, ditahan di kediamannya di Puchong Jaya, dengan bantuan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Penahanan itu susulan penularan video ceramah politik dipercayai ‘Superman Hew’ dalam bahasa Kantonis di Raub Perdana, Pahang pada 17 November lalu.

“Pada ceramah itu, seorang penceramah bernama Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai ‘Superman Hew’ berucap dalam bahasa Kantonis yang didapati mempunyai unsur-unsur yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Sebahagian daripada rakaman video ceramah berkenaan kemudian ditularkan dan mendapat reaksi yang negatif dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan permohonan reman ke atasnya akan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi pihak polis mendapatkan keterangan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan.

“Selain itu, ia juga disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam,” katanya.

Ramli berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi.

Menurut Ramli, Kuan Yau turut disiasat mengikut seksyen yang sama bagi ucapannya di dalam satu program ceramah politik di Taman Pandan Mawar, Melaka pada 18 November lalu.

Menerusi video yang tular itu, memaparkan ucapan Kuan Yau yang dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat serta berbaur perkauman ketika berucap pada ceramah itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here