DATUK Seri Jamal Md Yunos mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) dibubarkan susulan prestasi parti komponen terutama MIC dan MCA yang tidak memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengarah Komunikasi BN Selangor dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu turut menggesa Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dipecat, selain parti itu berundur daripada BN.
Ia susulan kenyataan supaya Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.
“Saya mohon kepada Pengerusi BN mengeluarkan surat untuk beliau dipecat. MCA yang kena berundur, MCA ini sepatutnya sudah tidak wujud.
“Apabila melihat perangai MCA saya rasa BN perlu dibubarkan dan Umno kena bersendirian.
“Tiada guna berada ada dalam komponen BN tetapi seolah-olah mereka yang menjadi ‘abang long’ dan besar kepala. Padahal mereka bukan ada apa-apa pun,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.
Jamal turut mencabar MCA agar bertanding di kawasan masyarakat Cina pada pilihan raya akan datang jika mereka mempunyai sokongan yang kuat.
“Mereka hanya berani bertanding kawasan majoriti orang Melayu, kalau berani bertanding lah di Bukit Bintang, Seputeh dan sebagainya,” katanya.
Beliau mengulas gesaan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang mahu Ahmad Zahid melepaskan jawatan Pengerusi BN secara terhormat dan digantikan dengan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Gesaan Sin Woon itu susulan kenyataannya yang mengesahkan Ahmad Zahid mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, menyatakan BN menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10. – Malaysiapost

