CALON Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim berdoa semoga Malaysia mendapat sinar baharu dalam pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.
“Semoga ada sinar baru buat Malaysia,” demikian hantaran Anwar menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Hantaran tersebut terus menambah teka teki berhubung kemelut politik melanda negara apabila sehingga hari ini tiada parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Pusat.
Persoalan sama ada pembentukan kerajaan tertumpu kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong setelah meneliti mana-mana seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mempunyai majoriti Ahli Parlimen.
Semalam, Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Menurut Presiden PKR itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah belum membuat sebarang keputusan siapa yang bakal dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Ke-10.
Pada masa sama, beliau berkata, Seri Paduka menitahkan bahawa wujud keperluan agar kerajaan yang terbentuk selepas PRU15 adalah kerajaan yang kukuh.
Al-Sultan Abdullah turut menitahkan semua 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menghadap baginda hari ini. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Anwar Ibrahim

