GABUNGAN NGO Melayu-Islam Malaysia memohon Yang di-Pertuan Agong tidak membiarkan suara pemimpin Melayu Islam dan Bumiputera menjadi minoriti di bawah kerajaan baharu.
Menurut gabungan itu menerusi kenyataan hari ini, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah menjadi menifestasi kemahuan orang Melayu dan Bumiputera.
Ia katanya, bagi mengangkat kepimpinan Melayu yang bersih dan stabil.
“Oleh kerana itu masyarakat Melayu-Islam khususnya telah beralih kepada gabungan yang membawa aspirasi tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, NGO tersebut menyerahkan atas kebijaksanaan tinggi Yang di-Pertuan Agong menyelesaikan kemelut Parlimen yang tergantung, seterusnya mengangkat Perdana Menteri dari gabungan yang telah mendapat pungutan suara teramai dalam kalangan Melayu dan Bumiputera.
“Kerajaan sewajarnya sudah dibentuk dan pembentukan ini perlulah disegerakan mengikut
lunas Perlembagaan Persekutuan atas budi pertimbangan kebijaksanaan Tuanku.
“Ini kerana masa yang panjang diambil mampu menjejaskan kestabilan atas faktor sosio dan ekonomi masyarakat,” katanya lagi. – Malaysiapost

