‘Saya nak pergi pejabat, kerja dan balik rumah’ – Anwar

0
1

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengunci mulut dengan tidak menjawab soalan media berhubung pembentukan kerajaan baharu yang dijangka selesai, hari ini.

Beliau yang dilihat meninggalkan kediamannya di Sungai Long, Kajang hanya memberi tahu media beliau keluar untuk pergi ke pejabat bagi bekerja.

Ditanya sama ada beliau akan ke Istana Negara petang ini, Anwar tidak menjawab pertanyaan itu.

“Pergi kerja, pejabat. Selepas itu balik rumah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Bagaimanapun, Difahamkan, Ahli Parlimen Tambun itu keluar untuk ke Hotel Seri Pasific di ibu negara, dipercayai untuk pertemuan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

Penentuan siapa bakal menjadi Perdana Menteri Ke-10, sama ada Anwar atau Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka terjawab hari ini, bergantung pada siapa berjaya menarik sokongan Barisan Nasional (BN) serta gabungan parti-parti lain untuk bekerjasama.

Ketika ini seramai 30 Ahli Parlimen BN dikatakan hampir mencapai kata sepakat untuk tidak menamakan mana-mana pemimpin daripada PH atau PN sebagai calon Perdana Menteri.

Mereka sebaliknya bersetuju mempersembah cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini supaya fungsi kerajaan sementara yang sedang berjalan, diteruskan dalam satu tempoh tertentu sehingga sebuah kerajaan baharu dibentuk kelak.

Sumber parti itu memaklumkan, semua Ahli Parlimen BN dijadual menandatangani satu akaun bersumpah (SD) pagi ini bagi menzahirkan cadangan itu untuk dipersembah kepada Agong sebelum jam 2 petang ini.

Pada PRU15, PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, manakala PN pula mendapat 73 kerusi.

Untuk menubuhkan kerajaan, sesebuah parti atau gabungan parti perlu mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Semalam, media melaporkan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melanjutkan tempoh masa selama 24 jam lagi kepada parti politik untuk membentuk kerajaan yang sepatutnya sehingga jam 2 petang semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here