AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang, Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu, hari ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu menerima watikah pelantikan daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Bilik Hijau, Istana Arau pada jam 4.15 petang tadi.
Berangkat sama pada majlis itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, lapor Bernama.
Tuanku Syed Sirajuddin memberi perkenan pelantikan Shukri berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.
Pelantikan Shukri, 61, sebagai Menteri Besar dipersetujui kepimpinan tertinggi PN yang menyerah watikah lantikan pada Ahad lalu sebelum mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin semalam.
Mohd Shukri yang juga pesuruhjaya PAS Perlis adalah Adun Sanglang selama tiga penggal berturut-turut sejak 2013.
PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada pilihan raya umum ke-15. – Malaysiapost
Kredit foto: Bernama tv

