LEBIH separuh daripada 191 ketua Umno bahagian seluruh negara menolak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada terus mengemudi parti itu.
Ketua Umno Bahagian Batu, Datuk Yahya Mat Ghani, berkata selain daripada mereka, MCA dan MIC juga menolak Ahmad Zahid.
Menurutnya, gelombang menolak Ahmad Zahid daripada menjadi Presiden Umno akan berterusan sehingga beliau berundur.
“Saya tanpa segan silu, saya ingin nyatakan bahawa Presiden Umno (Ahmad Zahid) mesti berundur dan kena serah pada pemimpin lain.
“Saya berpendirian Ahmad Zahid kena tanggungjawab di atas apa yang berlaku hari ini. Kalau kita lihat Barisan Nasional (BN) dalam sejarah inilah paling teruk sekali,” katanya memetik Sinar Harian.
Terdahulu, pimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH) diketuai Ahmad Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan di Hotel Seri Pacific dipercayai bagi memuktamadkan kerjasama membentuk kerajaan campuran.
Dalam pada itu, Yahya berkata, beliau tidak takut sekiranya dipecat susulan kenyataan mendesak Ahmad Zahid untuk berundur.
Tambahnya, Ahmad Zahid perlu berjiwa besar untuk berundur daripada mengemudi Umno.
“Dalam soal ini, kita minta dia fikir bukan untuk hal sendiri. Kena fikir tentang masa depan parti. Kalau sekarang hanya dapat 30 kerusi Parlimen dan dia terus pimpin Umno., kita bimbang makin teruk.
“Rakyat di bawah memang menolak dia,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Ali Parlimen BN sepakat menyerahkan kepada budi bicara serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam soal memutuskan calon Perdana Menteri ke-10.
BN mengambil pendirian berkecuali dalam memilih mana-mana calon Perdana Menteri sama ada daripada PH mahupun PN.
Setakat ini, dua nama calon Perdana Menteri dijangka dipersembahkan ke Istana Negara iaitu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Malaysiapost

