DEWAN Tertinggi Barisan Nasional (BN) telah membuat keputusan tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengesahkan perkara itu berkata, BN tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) dan bersetuju kekal sebagai pembangkang setakat ini.
“Alhamdulillah, Dewan Tertinggi BN telah membuat keputusan tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.
“BN tidak menyokong Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN). Setakat ini BN bersetuju kekal sebagai pembangkang,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.
Terdahulu, media melaporkan Ali Parlimen BN sepakat menyerahkan kepada budi bicara serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam soal memutuskan calon Perdana Menteri ke-10.
BN mengambil pendirian berkecuali dalam memilih mana-mana calon Perdana Menteri sama ada daripada PH mahupun PN.
Setakat ini, dua nama calon Perdana Menteri dijangka dipersembahkan ke Istana Negara sebelum jam 2 petang nanti, iaitu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Malaysiapost

