Annuar dakwa wujud konspirasi kelirukan Agong pilih PM ke-10

0
2

TAN Sri Annuar Musa mendakwa wujud konspirasi terancang oleh pihak tertentu yang cuba mengelirukan Yang di-Pertuan Agong berhubung pemilihan Perdana Menteri ke-10.

Ketua Umno Bahagian Ketereh itu mendakwa, pihak terbabit mengemukakan dokumen bercanggah Perlembagaan dan bertentangan dengan keputusan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini.

“Difahamkan ada pihak sekali lagi cuba ‘misled’ (mengelirukan) Yang di-Pertuan Agong dengan dokumen bukan saja bercanggah Perlembagaan, malah bertentangan keputusan Dewan Tertinggi BN.

“Perbuatan menjayakan ‘konspirasi terancang’ ini melanggar resolusi diputuskan pada Perhimpunan Agung Umno sebelum ini serta keputusan Dewan Tertinggi BN,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu Annuar berkata kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bakal menamatkan polemik pemilihan Perdana Menteri dengan baik dan lancar.

Beliau bagaimanapun berkata kerumitan yang wujud disebabkan ada pihak dalam BN membuat pakatan sulit atau konspirasi sejak sebelum PRU15, tanpa menyedari perkara itu menjadi satu kesalahan besar serta tidak sah dan terbatal.

“Pertama, dasar parti ‘No Anwar, No DAP’ diputuskan dalam perhimpunan agung adalah ‘binding’ (mengikat) semua orang dan tak boleh dirombak mana-mana individu. Sebarang tindakan bercanggah dengan dasar parti adalah ‘null and void’.

“Kedua, pendirian anggota parlimen dipilih, untuk menentukan siapa mereka sokong bagi memegang jawatan Perdana Menteri, mesti dibuat tanpa sebarang tekanan sesiapa. Ahli parlimen berhak membuat keputusan mengikut dasar parti diputuskan secara sah.

“Sebarang dokumen lain cuba dimanipulasi adalah terbatal dan tidak sah serta tidak berperlembagaan. Justeru kita yakin kebijaksanaan dan sikap adil serta berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai penguasa mutlak dalam melantik Perdana Menteri,” katanya.

Annuar berkata, beliau difahamkan setiap Ahli Parlimen BN akan diberi peluang menyatakan sendiri pilihan mereka, sesuai dengan kehendak perlembagaan dan masalah konspirasi yang terbongkar, akan diurus Umno dan BN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here