Rakyat akan bangkit – Razman Zakaria

0
2

PAS dan Perikatan Nasional (PN) Perak akan terus bekerja dan memberi fokus kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat walaupun tidak berjaya menubuhkan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria, menegaskan rakyat akan kembali bangkit dan menyedari pihak mana yang benar-benar berjuang demi rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN Perak dan lebih mesra dengan panggilan Pak Teh, berkata pihaknya telah berusaha sebaik mungkin.

“Alhamdulillah, Pak Teh telah berusaha sebaik mungkin demi agama, bangsa dan negara.

“PAS dan PN Perak akan terus bekerja dan fokus kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Rakyat akan lebih tahu dan memahami siapa yang benar-benar berjuang demi rakyat dan siapa yang berjuang untuk kepentingan diri semata-mata. Rakyat akan bangkit,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Perak menjadi negeri pertama yang menubuhkan kerajaan selepas PRU-15 dengan menteri besarnya mengangkat sumpah hari ini, sekaligus menyaksikan kerjasama julung kalinya antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). .

Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Tampan dari BN, Datuk Seri Saarani Mohamad,mengangkat sumpah untuk sekali lagi menjadi Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah Kuala Kangsar 5.40 petang tadi.

Selepas PRU-15 Sabtu lalu, penubuhan kerajaan Perak menemui kebuntuan susulan tiada parti politik melepasi majoriti mudah 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PH yang memiliki 24 kerusi DUN bergabung dengan BN yang menang sembilan kerusi DUN sekali gus membolehkan kerajaan negeri yang baharu dibentuk dan PN yang menang 26 kerusi akan bertindak sebagai pembangkang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here