PH, PN digesa runding tubuh kerajaan bersama – Isham Jalil

0
2

KEPIMPINAN Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) digesa supaya berunding bersama untuk membentuk kerajaan baharu dan tidak mengharapkan sokongan daripada Barisan Nasional (BN).

Gesaan itu dibuat oleh Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil kerana menurutnya BN sudah bersedia untuk menjadi pembangkang bagi memastikan semak dan imbang pentadbiran negara.

Menurutnya, ramai ahli akar umbi dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menyokong untuk BN menjadi pembangkang dan memang itulah BN ketika ini yang ditentukan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Sabtu lalu.

“Rakyat dah pilih kita jadi pembangkang maka kita jadi pembangkanglah, sebab dah dua kali rakyat memilih kita jadi pembangkang. Jadi siapa yang nak paksa-paksa kita jadi kerajaan ni saya tidak tahu.

“Sebab itu saya dan ramai lagi yang minta PH atau PN berunding antara mereka untuk membentuk kerajaan. PH dengan PN pergi berunding untuk membentuk kerajaan, kalau mereka boleh bekerjasama maka mereka boleh dapat dua pertiga majoriti.

“BN tiada masalah, 30 Ahli Parlimen BN akan jadi pembangkang. Cuma masalahnya dengar cerita PH dengan PN tidak boleh nak berunding. Apa benda ni? Kamu dah dapat mandat daripada rakyat maka rundinglah, BN tiada masalah,” katanya dalam siaran langsung di Facebooknya hari ini.

Beliau menjelaskan situasi yang menyebabkan kepimpinan dan Ahli Parlimen BN hadir ke sebuah hotel di ibu negara hari ini bagi pertemuan dengan kepimpinan PH untuk membentuk kerajaan gabungan bersama.

Menurutnya, apabila PH dan PN tidak boleh berunding maka tiada pihak yang boleh bentuk kerajaan tanpa BN

“Jadi BN kena pilih nak bekerjasama dengan siapa sama ada PN atau PH. Kalau tidak kerajaan tidak boleh dibentuk. Setakat hari ini hanya PH berjumpa kepimpinan Umno dan BN, PH tidak datang jumpa.

“Setakat ini tiada apa-apa keputusan lagi yang dimaklumkan oleh kepimpinan parti.. sesiapa yang ingin datang berjumpa boleh datang dan ia tidak menjadi masalah,” katanya.

Isham berkata, adalah sukar untuk BN membuat keputusan sama ada ingin bekerjasama dengan PH atau dengan ‘pengkgianat’ untuk bentuk kerajaan.

“Saya ingin tegaskan BN nak jadi pembangkang jadi PH dan PN perlu buat rundingan sekali lagi, jayakannya.

“Saya harap kedua-dua pihak yang menang banyak kerusi ini dapat bentuk kerajaan bersama dan BN mahu jadi pihak yang memastikan semak dan imbang. Tetapi kalau BN perlu pilih, maka kami serahkan kepada kepimpinan parti untuk memilih,” katanya.

Sementara itu Ahli MKT Umno Datuk Razlan Rafii yang turut bersamanya, memberi pandangan situasi negara sekarang mempunyai tiga pilihan.

“Pilihan pertama BN boleh tubuh kerajaan dengan mana-mana pihak, pilihan kedua adakan pilihan raya semula yang memerlukan kos RM1 bilion, manakala pilihan ketiga yang agak drastik iaitu kembali kepada sistem monarki.

“Jadi kita ada tiga pilihan, mana-mana pihak perlu tubuhkan kerajaan gabungan kerana kita tidak boleh tubuhkan kerajaan minoriti,” katanya.

Beliau turut berkata kini tiada lagi akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen untuk menyokong calon Perdana Menteri daripada parti lain kerana adanya akta anti lompat parti.

“Tindakan ‘curi’ ini tidak boleh dilakukan, kena kembali kepada sistem parti sebab itu kita buat akta anti lompat parti, sebab tak nak ada orang mencuri (sokongan) dan janganlah jadi pencuri.

“Sebab mana-mana parti melaburkan duit, tenaga dan semangat hanya untuk memilih Ahli Parlimen. Ahli Parlimen itu adalah kepunyaan parti..Jadi sokongan kepada mana-mana pihak perlu dari satu blok parti bukan individu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here