‘Biar PN dan PH tentukan kerajaan baharu, BN tidak perlu campur’ – Annuar

0
1

BARISAN Nasional (BN) perlu menyerahkan segala urusan berhubung pembentukan kerajaan baharu kepada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), tanpa membabitkan penyertaan parti itu.

Bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, apa yang penting ketika ini semua 30 Ahli Parlimen BN perlu bersama dalam setiap keputusan sekali gus menggelakkan berlaku perpecahan yang lebih parah.

“Justeru, antara pilihan BN saat ini ialah mendahulukan proses mengukuhkan semula parti. Menerima peranan sebagai pembangkang berwibawa, membela rakyat tanpa perlu menyertai PH atau PN.

“Sesudah jatuh, tidak perlulah melutut dan menyembah. Himpun semula kekuatan dan bangkit dengan bermaruah,” katanya menerusi Facebook.

Annuar berkata, BN perlu ‘reset’ dan ‘reinvent’ dengan melakukan pembersihan dan penyusunan dalaman.

Tegasnya lagi, rakyat menolak BN bukan kerana prestasi atau dasar, tetapi kerana individu yang dilihat cuba menguasai parti bagi tujuan peribadi.

“BN ditolak kerana gagal membuktikan keazaman menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa dan percubaan mengekalkan dan melindungi pemimpin yang dilihat tidak berintegriti.

“Ia ditambah dengan persepsi buruk tentang solidariti dalam parti apabila pucuk pimpinan sewenang wenang menyingkir sesama sendiri.

“Justeru, antara pilihan pada BN saat ini ialah mendahulukan proses mengukuhkan semula parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, negara sekali lagi bakal menyaksikan ‘tawar menawar politik’ bagi mencari sokongan untuk berkuasa dan ia petanda awal Malaysia bakal berdepan politik tidak menentu serta tidak stabil.

“Istana Negara mahukan setiap Ahli Parlimen secara individu membuat deklarasi bersumpah sebelum jam 4 petang ini dan menyatakan siapa yang mereka sokong sebagai PM10 dan membentuk kerajaan.

“Dalam situasi ini Umno/BN sebagai gabungan menguasai hanya 30 kerusi perlu membuat pendirian secara bermaruah, berprinsip dan strategik,” katanya.

Beliau berkata, sudah tentu PH dengan gabungan DAP, PKR, Amanah yang mempunyai 79 kerusi berusaha mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Manakala PN (PAS, Bersatu, GRS) dengan 77 kerusi berusaha mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan memujuk parti parti lain menyokong mereka.

“Dalam BN ketara wujud perbezaan pendirian. Ada yg mula menzahirkan ‘perancangan gelap’ sebelum ini untuk menyokong Anwar dan DAP yang dirancang sejak Julai/Ogos 2020.

“Namun ia berkali-kali digagalkan oleh satu kelompok yang lain yang berpegang kepada keputusan parti, khasnya Perhimpunan Agung Umno (NO Anwar-No DAP)

“Sementara kelompok kedua yang mahu menyokong Muhyiddin, yang dilihat lebih sejajar dengan keputusan PAU dan lebih selari dari segi dasar perjuangan parti.

“Sebenarnya BN mempunyai pilihan ketiga yang lebih bermaruah,yaitu menerima isyarat rakyat bahawa BN perlu terlebih dahulu berubah,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, Annuar menzahirkan rasa kecewa dengan situasi yang berlaku dalam Umno dan BN ketika ini.

“Nak membina memakan masa bertahun tahun oleh berjuta ahli. Nak meruntuhkan hanya memerlukan seorang desperado yg nak menjaga tengkuknya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here