YANG di-Pertuan Agong hari ini menzahirkan titah perkenan supaya proses bagi mengemukakan gabungan parti politik pasca Pililhan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri ke-10, dilanjutkan sehingga jam 2 petang esok.
Titah perkenan Seri Paduka Baginda itu susulan permohonan daripada ketua parti dan gabungan politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Anmad Fadil Shamsuddin berkata sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses tersebut selesai.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara atau “Caretaker Prime Minister” berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government).
“Seri Paduka Baginda menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan keraqjaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 ini dipermudahkan dan beralan lancar demi kepentingan negara.
“Baginda seterusnya turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya menerusi kenyataan. – Malaysiapost

