Zaid cadang PH-Umno bekerjasama wujudkan blok politik ‘Melayu sederhana’

0
2

BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mencadangkan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan Umno membentuk blok politik berasaskan ‘Melayu lebih sederhana’.

Beliau berkata, langkah itu bagi menyekat kemaraan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat lebih ‘ekstrem’ apabila bekerjasama dengan PAS.

Zaid mendakwa tindakan PH menyerang Umno bertubi-tubi sepanjang Pilihan raya umum ke-15 (PRU15), menyebabkan gabungan itu terlepas pandang dengan PN yang dilihat mempunyai pemikiran lebih bahaya, ekstrem terutama dalam agama.

“Ideologi itu kini telah menjadi ‘kuasa’ yang menggerunkan di negara ini.

“Kita tidak boleh membenarkan negara ini secara asasnya berubah selama-lamanya,” katanya dalam video yang dimuat naik dalam Facebook, hari ini.

Menurutnya, apabila ‘ekstremisme keagamaan’ telah mula bertapak, ia sukar untuk disingkirkan.

“Biar pihak yang bagus, atau secara relatifnya bagus dan yang sederhana bekerjasama. Biar akal budi mengatasi ego,” katanya.

Zaid berkata, apa sahaja isu PH dengan Umno boleh diselesaikan kerana parti itu mempunyai kekuatan tersendiri.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan untuk membentuk blok kukuh dengan gabungan di Sabah dan Sarawak.

Beliau turut menyifatkan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai pemimpin yang berfikiran wajar dan sederhana.

Katanya, Abang Johari dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor boleh menyokong Anwar sebagai pemimpin negara.

“Saya harap (Anwar) buat keputusan yang sukar namun tepat, supaya kita dapat bendung perkara ini,” katanya.

Beliau turut memberi amaran langkah itu perlu dilakukan segera bagi memastikan PN tidak menguasai Selangor pada Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Jika itu terjadi, permainan tamat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here