Shahidan gesa Ahmad Zahid berundur

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa berundur dan meletak jawatan susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mewakili Perikatan Nasional (PN) selepas tidak dicalonkan semula oleh BN, membuat gesaan itu berikutan prestasi BN yang dianggap menyedihkan.

Menurutnya, situasi kali ini sama seperti pada PRU14 apabila Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden ketika itu diminta melepaskan jawatan selepas BN tewas.

“Esok (hari ini) akan ada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan Biro Politik, saya ingat mereka perlu minta Ahmad Zahid supaya berhenti secara terhormat.

“Dulu, dia juga minta Najib berundur, jadi saya minta Ahmad Zahid mengundurkan diri,” katanya pada sidang media di Kompleks PAS Perlis, awal pagi ini.

Pada PRU15 kali ini, Shahidan memperoleh kemenangan besar apabila menewaskan calon BN, Datuk Rozabil Abdul Rahman dan calon muda Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie dengan majoriti sebanyak 23,216 undi.

Berbeza dengan nasib Ahmad Zahid pula, Presiden Umno itu berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk dengan hanya majoriti sebanyak 348 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here