PN bentuk kerajaan bersama parti-parti sehaluan – Muhyiddin

0
2

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan itu berjaya memenangi 73 kerusi parlimen setakat awal pagi tadi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Justeru beliau mengalu-alukan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip gabungan itu, untuk membentuk kerajaan persekutuan yang prihatin, bersih dan stabil.

Menurutnya, bagi tujuan itu pihaknya akan berbincang dengan parti-parti berkenaan termasuk dari Sabah dan Sarawak, kecuali Pakatan Harapan (PH).

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan PN memenangi 73 kerusi Parlimen setakat ini termasuk 22 calon PN yang menggunakan logo PAS di Kelantan dan Terengganu. Masih terdapat enam kerusi lagi yang belum selesai dikira oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Bagi tujuan pembentukan kerajaan persekutuan, saya akan berbincang dengan pimpinan parti-parti di Sabah dan Sarawak dalam masa yang terdekat.

“Demi menjamin kestabilan, PN juga mengalu-alukan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip perjuangan PN untuk membentuk sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Utama PN di Glenmarie Hotel & Golf Resort, Shah Alam awal pagi ini.

Beliau berkata, sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan bersama parti-parti lain yang sehaluan, tumpuan PN adalah untuk melaksanakan semua tawaran PN Best yang dikemukakan kepada rakyat semasa tempoh kempen PRU-15.

“Kita bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti dan saya tidak sebut secara khususnya Umno tetapi yang bersedia dengan parti-parti di Sabah dan Sarawak juga,” katanya dengan disambut teriakan penyokong PN menolak kerjasama dengan  Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berulang kali.
Muhyiddin bagaimanapun meminta penyokong-penyokong PN bertenang dan menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi PN untuk membuat keputusan dengan mengambil kira situasi dan keadaan tertentu.

“Kita akan ambil kira semua perkara termasuk pandangan pemimpin-pemimpin PN yang lain.Yang penting kita harap dengan PN mengetuai kerajaan ini, maka kita dapat lahirkan suasana politik negara yang paling stabil.

“Ini bermakna kita perlu mengambil kira pihak-pihak tertentu dalam parti-parti lain yang kalau mereka ini sehaluan dan bersedia menerima dasar-dasar yang diketuai oleh PN ,kita akan menimbangkan dengan secara teliti dan mendalam,” katanya.
Menurutnya, setakat ini pihaknya dapat maklum balas menggalakkan daripada parti-parti yang memenangi kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak.

“Kita juga ada terima surat daripada pihak Istana Negara. Kandungannya saya tidak perlu dedahkan berkaitan perkara yang perlu disempurnakan mengikut kehendak Yang di-Pertuan Agong.

“Perkara ini memerlukan kita mengambil langkah secepat mungkin, bermakna sebahagian daripada perbincangan kita akan lakukan pada esok hari dan harap dapat dimuktamadkan sebelum petang esok. Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu beliau yang juga Presiden Bersatu, mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengundi di seluruh negara yang telah memberikan sokongan yang padu kepada PN. 
Menurutnya, gelombang sokongan rakyat kepada PN terutamanya daripada pengundi-pengundi muda telah membolehkan PN mencapai kejayaan luar jangka.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua calon-calon PN yang telah memenangi kerusi masing-masing dan kepada seluruh jentera parti yang bekerja keras dengan penuh komitmen dan semangat juang tinggi sehingga membolehkan PN memperolehi kejayaan di luar jangkaan ini,” katanya.
Sementara itu, beliau mengumumkan PN juga telah mempunyai kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri Perlis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here