Lagi desakan Zahid letak jawatan

0
3

BEBERAPA pemimpin Umno secara terbuka mendesak Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meletak jawatan susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), semalam.

EXCO Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, sentimen rakyat terhadap penolakan Ahmad Zahid sudah diterjemahkan melalui undi kali ini.

Beliau mendakwa, BN kecundang kerana angkuh dan sombong, memilih bergerak solo dan tidak mahu berubah serta mendengar pandangan akar umbi dan rakyat.

“Ini yang sebenarnya menjadi kelemahan, 100 batang lidi lebih kuat berbanding sebatang lidi kerana 100 batang lidi mampu menyapu sampah dengan berkesan berbanding sebatang.

“Oleh itu, wajarlah Presiden berundur dan pemilihan parti perlu diadakan segera bagi memberi mandat baru kepemimpinan membuat perubahan yang sebenarnya” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Muqharabbin juga mahu Muafakat Nasional (MN) dikekalkan kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan penentu kekuatan BN.

“Kita wajar melihat dan menghargai PAS kerana kebangkitan Umno selepas kecundang pada PRU14 lalu adalah kerana keberadaan dan kebersamaan PAS bersama parti,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Umno Johor, Datuk Samsolbari Jamali, berkata pucuk pimpinan parti perlu bertanggungjawab atas kekalahan BN, sekali gus mahu proses pemulihan bermula dari atas.

“Umno perlu berlapang dada dan tawaduk dalam menerima realiti bahawa pembaikan di peringkat pucuk pimpinan perlu dilakukan.

“Ada keperluan bagi Umno dan BN untuk menilai kembali kekuatan, kelemahan, potensi dan cabaran sebenar parti secara menyeluruh dan jujur dan tidak terperangkap dalam sindrom penafian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here