PROSES pengundian membabitkan pesakit Covid-19 berjalan lancar setakat ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya dua petugas kesihatan diletakkan di setiap pusat pengundian kecuali di pusat kecil yang menempatkan satu petugas.
“Sebagai contoh, di pusat pengundian ini (SK Seksyen 7 Kota Damansara), ada 10 orang yang positif Covid-19 hadir (setakat 12 tengah hari).
Katanya, mereka memaklumkan positif Covid-19 dan dibenarkan mengundi dan terus balik tanpa sebarang masalah.
Khairy berkata demikian selepas meninjau proses pengundian di SK Seksyen 7 Kota Damansara.
Menurut Khairy, pengundi yang tidak sihat akan menunjukkan status positif mereka di MySejahtera sebaik tiba di pusat mengundi dan terus dibawa masuk untuk mengundi.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata individu yang positif Covid-19 perlu mematuhi beberapa garis panduan untuk mengundi, termasuk penjarakan fizikal dan tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam.
Pada pilihan raya kali ini, Khairy menghadapi saingan tujuh penjuru bagi Parlimen Sungai Buloh, melibatkan calon Pakatan Harapan Datuk R Ramanan dan Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional).
Turut bersaing merebut kerusi itu adalah wakil Pejuang Mohd Akmal Mohd Yusoff, Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) Ahmad Jufliz Faiza serta dua calon Bebas Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff dan Nurhaslinda Basri. – Malaysiapost

