Bertanding dengan sihat, bukan guna elemen provokasi – Wan Saiful

0
1

CALON Perikatan Nasional (PN) Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan kesal dengan tindakan pihak lawan yang menggantung beberapa kain rentang serta menyebarkan risalah bersifat provokasi pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang merupakan Ketua Penerangan Bersatu, berkata kain rentang itu dipasang di beberapa lokasi tumpuan awam termasuk berhampiran pusat pengundian di sekitar Tasek Gelugor sejak pagi Jumaat.

Tambah beliau, pihaknya juga mendapati terdapat risalah sama turut disebarkan melalui masjid-masjid di kawasan ini selepas solat Jumaat.

“Bagi saya dalam PRU kali ini biarlah kita bertanding dan bersaing secara sihat bukannya masih dengan elemen provokasi, fitnah dan perkara yang bukan-bukan…ini adalah taktik lama.

“Kita tahu siapa dalang di sebalik perbuatan terdesak ini dan matlamat mereka hanya untuk memecahbelahkan hubungan antara Bersatu dan PAS serta mempengaruhi pengundi pada hari ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Wan Saiful berkata, pihaknya akan membuat laporan berhubung provokasi itu dan berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

Dalam masa sama, beliau berharap masyarakat khususnya di Tasek Gelugor dapat menilai serta menentukan nasib mereka yang menyebarkan fitnah.

Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan pertarungan lima penjuru antara Wan Saiful (PN) dengan Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (Barisan Nasional), Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan (PH), Mohamad Akmal Azhar (Warisan) dan Datuk Dr Abdul Halim Sher Jung (Pejuang). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here