Malaysia memilih, 20.8 juta pengundi tentukan masa depan negara

0
2

HARI ini, rakyat Malaysia yang layak mengundi mula menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ia bagi menentukan parti atau gabungan mana yang mendapat mandat membentuk kerajaan baharu di peringkat Persekutuan dan tiga negeri untuk lima tahun akan datang.

Seramai 20,853,681 daripada keseluruhan 21,173,638 pemilih berdaftar akan membuat pilihan masing-masing mulai 8 pagi hingga 6 petang di Semenanjung Malaysia.

Manakala, untuk pengundi di Sabah, Sarawak dan Labuan bermula jam dan 7.30 pagi hingga 5.30 petang.

Sejumlah 38,348 saluran disediakan di 8,958 pusat mengundi di seluruh negara kali ini melibatkan kos RM1.01 bilion, peningkatan kira-kira RM500 juta berbanding PRU14.

Pengundian awal berlangsung Selasa lalu di 970 saluran di 578 pusat pengundian dengan 94.72 peratus atau 212,961 pengundi dalam kalangan anggota keselamatan dan pasangan menunaikan tanggungjawab mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan pemilih keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti mana tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Ia sebagai jaminan aspek keselamatan dan kesihatan ramai, individu positif Covid-19 wajib memakai pelitup muka, tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam, mematuhi penjarakan fizikal selamat serta pulang segera selepas mengundi.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MeTMalaysia) meramalkan ribut petir di tujuh negeri membabitkan Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor. Manakala hujan di Kelantan, Perak, Sabah, Terengganu dan Labuan pada sebelah pagi.

Cuaca baik diramalkan di Pahang, Sarawak, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada sebelah pagi.

Parlimen dibubarkan 10 Oktober lalu bagi memberi laluan PRU15, tiga hari selepas Bajet 2023 dibentangkan di Parlimen.

PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak (59), Pahang (42) dan Perlis (15).

Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya diadakan serentak dengan PRU15, selepas tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan Covid-19.

Bagaimanapun, SPR menetapkan 7 Disember ini sebagai hari mengundi bagi Parlimen Padang Serai, susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang juga bekas penyandang kerusi itu, M Karupaiya Rabu lalu.

Seramai 1,380 calon bertanding, iaitu 939 (kerusi Parlimen), 434 (kerusi DUN Perlis, Perak dan Pahang) dan tujuh calon bagi PRK DUN Bugaya. Justeru, PRU15 diamati paling sengit dalam sejarah demokrasi negara serta menjadi medan pertempuran parti politik dan rakan sekutu yang membentuk gabungan.

PRU15 juga bakal menyaksikan sokongan kira-kira 1.4 juta pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun yang julung kali layak menentukan kepimpinan negara.

Tidak kurang pentingnya, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang dikuatkuasakan 5 Oktober lepas.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani memberi komitmen tinggi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara terjamin.

Apa yang pasti, PRU15 bukan sekadar pelengkap proses demokrasi, sebaliknya menjadi platform penting dalam memilih kerajaan stabil serta mampu mengemudi negara, termasuk mengharungi pelbagai cabaran seiring unjuran ketidaktentuan ekonomi global pada tahun depan.

Rakyat harus menggunakan mandat lima tahun sekali ini bagi memilih pemimpin dan kerajaan untuk mentadbir negara serta negeri.

Apa juga pilihan pengundi ia wajar dihormati kerana ia mewakili suara rakyat yang sebenar.

Pada kesempatan ini, Malaysiapost mengucapkan selamat mengundi kepada rakyat Malaysia, buat pilihan tepat dan bijak! – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here