DATUK Seri Anwar Ibrahim yakin Pakatan Harapan (PH) akan memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) esok.
Beliau yang juga Pengerusi PH berkata kejayaan parti itu membentuk kerajaan akan disusuli dengan majlis angkat sumpahnya sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak untuk keluar mengundi esok dan memberi mandat kepada PH untuk memerintah negara.
“Kita sudah ikhtiar, sudah kempen dan jelajah habis dah. Kita telah ikhtiar sehabis upaya.
“Mudah-mudahan esok malam diumumkan keputusan pilihan raya di Hulu Kinta menang Muhamad Arafat Varisai Mahamad, Manjoi menang Datuk Asmuni Awi dan Tambun menang Anwar,” katanya ketika menyampaikan amanat di Tambun, malam ini.
Anwar turut mengulangi pendiriannya untuk memotong gaji Perdana Menteri, serta mengurangkan jumlah barisan menteri Kabinet kepada separuh berbanding bilangan ketika ini.
“Gaji akan dikurangkan setengah. Nak jadi menteri, sila terima syarat saya. Kalau tidak, tak payah,” katanya.
Beliau turut menegaskan kehadirannya ke Parlimen Tambun pada pilihan raya kali ini adalah untuk mewujudkan budaya politik baharu di negara ini.-Malaysiapost

